PROSEDUR EIA

ALAM SEKITAR
PENGENALAN
Dalam tahun 1995, proses disentralisasi kerja-kerja menyemak dan meluluskan laporan EIA telah dilaksanakan di semua 13 Pejabat Jabatan Alam Sekitar Negeri. Walau bagaimanapun, projek-projek yang meliputi lebih daripada satu negeri dan laporan terperinci EIA masih diproses di Ibu Pejabat Jabatan Alam Sekitar.
Langkah-langkah untuk mempertingkatkan lagi prosedur EIA terus diberi penekanan. Antaranya ialah kajian semula Buku Panduan EIA yang diterbitkan semula pada bulan Ogos 1995. Manakala 12 set garis panduan spesifik juga telah diterbitkan yang melibatkan aktiviti-aktiviti seperti bekalan air bawah tanah dan air permukaan, penjanaan dan pemancaran kuasa, saliran dan pengairan, pelabuhan perikanan dan akuakultur berasaskan penggunaan tanah, empangan dan takungan air, perlombongan dan kuari, tempat peranginan di kawasan bukit, kemudahan pelancongan di kawasan taman negara, kemudahan pelancongan di pulau-pulau yang dikelilingi oleh perairan yang diwartakan sebagai taman laut, industri, pengolahan dan pelupusan sisa pepejal perbandaran dan pelupusan serta pengolahan sisa toksik dan berbahaya. Selain daripada itu, Jabatan juga telah bekerjasama dengan memberikan input kepada penyediaan dan penerbitan garis panduan bagi aktiviti pembinaan jalan raya dan lebuh raya oleh Jabatan Kerja Raya.
PROSEDUR EIA
Pemberitahuan Projek-Projek yang tertakluk kepada Perintah EIA Sebagai langkah proaktif, Jabatan Alam Sekitar meneruskan usaha menyenaraikan projek-projek yang tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling sebagaimana yang dimaklumkan oleh pihak pencadang projek ataupun yang dilaporkan oleh media massa walaupun tiada keperluan mengenai pemberitahuan ini. Pada tahun 1995, sejumlah 1,705 cadangan projek yang tertakluk kepada Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling telah diawasi berbanding dengan hanya 344 projek dalam tahun 1994. Antara projek yang paling banyak dicadangkan ialah untuk aktiviti pembangunan kemudahan rekreasi dan tempat peranginan (19 peratus), dan diikuti oleh kuari (18 peratus), infrastruktur (12 peratus), perumahan (10 peratus) dan industri (9 peratus).
Semakan Laporan
Bilangan laporan EIA yang diterima pada tahun 1995 telah meningkat sebanyak 16 peratus berbanding dengan tahun 1994. Daripada 348 laporan yang diterima, sebanyak 339 adalah laporan awal EIA, 1 laporan terperinci EIA dan 8 laporan analisa risiko yang berkaitan dengan kemudahan berbahaya (rujuk Rajah 5.1).

Semenjak Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling) dikuatkuasakan pada 1 April 1988, sehingga 31 Disember 1995, bilangan laporan EIA yang telah diterima adalah berjumlah 1,444 dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,363 (94 peratus) adalah laporan awal EIA, 62 (4 peratus) laporan analisa risiko, 8 laporan terperinci EIA dan selebihnya iaitu sebanyak 11 laporan bagi cadangan pembangunan yang dijalankan di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Kategori Projek dan Aktiviti-aktiviti yang Ditetapkan
Sehingga kini, bilangan laporan yang paling banyak diterima semenjak Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling), 1987 dikuatkuasakan ialah pembangunan tempat-tempat peranginan dan rekreasi (17 peratus) diikuti dengan pembangunan projek-projek infrastruktur (16 peratus) dan projek-projek perumahan serta aktiviti kuari, masing-masing sebanyak 14 peratus Laporan EIA yang berkaitan dengan aktiviti kuari didapati telah meningkat pada tahun 1994 dan 1995, manakala keadaan sebaliknya berlaku bagi aktiviti industri setelah tidak mengalami perubahan antara tahun 1991 sehingga 1993. Laporan terperinci EIA yang pertama bagi aktiviti penjanaan kuasa iaitu Projek Kuasa Hidroelektrik Bakun di Sarawak telah dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar untuk ulasan. Projek ini merupakan aktiviti yang tertakluk di bawah bidang kuasa Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Negeri Sarawak. Rajah 5.2 menunjukkan perbandingan taburan laporan EIA mengikut kategori aktiviti-aktiviti bagi tahun 1995 dan untuk tempoh antara tahun 1988 hingga 1995.
Sehingga 31 Disember 1995, sejumlah 353 laporan EIA (86 peratus) telah disemak. Ini termasuklah 61laporan EIA yang dibawa ke hadapan dari tahun 1994. Manakala yang selebihnya iaitu sebanyak 56 laporan EIA masih dalam semakan ataupun keputusannya masih tertakluk kepada beberapa maklumat tambahan yang belum diperolehi daripada pihak penggerak projek. Rajah 5.3 menunjukkan bilangan laporan EIA yang telah disemak setiap tahun dalam tempoh masa dari tahun 1988 sehingga 1995.
Sejumlah 238 daripada 348 laporan EIA yang diterima telah diluluskan, 38 laporan ditolak, 16 laporan telah ditarik balik oleh penggerak projek dan selebihnya iaitu sebanyak 56 laporan telah dibawa ke tahun 1996 untuk disemak. Secara keseluruhannya, bermula dari 1 April 1988, sebanyak 1,081 (75 peratus) laporan telah diluluskan, 194 (13 peratus) laporan telah ditolak dan 52 laporan (3 peratus) telah ditarik balik oleh pihak pemaju. Rajah 5.4 menunjukkan status laporan EIA yang telah diproses pada setiap tahun dalam tempoh masa 1988 hingga 1995.
Rajah 5.5 pula menunjukkan kemajuan bagi tempoh pemprosesan laporan EIA. Secara purata, masa yang diambil adalah 1.6 bulan bagi satu laporan iaitu dengan kadar yang lebih baik daripada tempoh 3 bulan yang ditetapkan dalam Piagam Pelanggan. Berdasarkan pencapaian ini, bermula dari 1 Mac 1995, Piagam Pelanggan bagi memproses setiap laporan EIA telah dikurangkan kepada 2.5 bulan bagi setiap laporan. Sepanjang pelaksanaan EIA, analisa taburan laporan EIA mengikut negeri projek dibangunkan menunjukkan tren yang sama dengan tahun 1994, iaitu 38 peratus daripada keseluruhan jumlah laporan yang diterima ialah dari negeri Selangor dan Johor, iaitu jauh melebihi negeri-negeri lain. Manakala laporan EIA bagi negeri Perlis dan Kelantan pula merupakan yang terendah diikuti dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan
. Rajah 5.6 menunjukkan taburan laporan EIA bagi setiap negeri untuk tempoh 1988 hingga 1995.

Kemajuan Dalam Pelaksanaan Prosedur EIA
Garis Panduan Spesifik
  Jabatan meneruskan usaha membuat susulan kepada cadangan-cadangan yang telah diperakukan oleh Kabinet pada 9 Disember, 1992 bagi mempertingkatkan keberkesanan prosedur EIA dengan menerbitkan 12 set garis panduan spesifik EIA. Garis panduan yang diterbitkan ini adalah untuk aktiviti bekalan air bawah tanah dan air permukaan, penjanaan dan pemancaran kuasa, saliran dan pengairan, pelabuhan perikanan dan akuakultur berasaskan penggunaan tanah, empangan dan takungan air,   perlombongan dan kuari, tempat peranginan di kawasan bukit, kemudahan pelancongan di kawasan taman negara, kemudahan pelancongan di pulau-pulau yang dikelilingi oleh perairan yang diwartakan sebagai taman laut, industri, pengolahan dan pelupusan sisa pepejal perbandaran, serta pengolahan dan pelupusan buangan toksik dan berbahaya.
Sebanyak 4 bengkel telah diadakan bagi menyediakan garis panduan-garis panduan tersebut yang dihadiri oleh wakil daripada agensi Kerajaan di peringkat Negeri dan Persekutuan, penggerak-penggerak projek, perunding-perunding alam sekitar, badan-badan profesional dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat dengan alam sekitar.
Pendaftaran Perunding-Perunding EIA
Pada bulan Januari 1995, senarai perunding-perunding EIA yang didaftarkan telah diumumkan oleh Yang Berhormat Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar. Sehingga 31 Disember 1995, sebanyak 55 firma perunding dan 176 perunding individu telah didaftarkan dengan Jabatan Alam Sekitar. Satu mesyuarat bersama dengan perunding-perunding EIA yang didaftarkan ini telah diadakan pada Julai 1995 untuk perbincangan kriteria pendaftaran dan isu-isu mengenai kualiti laporan EIA yang dikemukakan kepada Jabatan. Mesyuarat tersebut telah memperakukan beberapa perkara antaranya:
 Penubuhan Jawatankuasa Sementara
Perunding-perunding EIA yang berperanan mengkaji perkara-perkara yang berkaitan dengan perakuan perunding-perunding EIA; dan
Pembentukan Lembaga Perunding-perunding EIA.
Promosi EIA
Program-program kesedaran terus ditingkatkan melalui pembentangan beberapa kertas kerja dan mengadakan hubungan baik antara Jabatan dan pelanggan. Sepanjang tahun 1995, sebanyak 15 kertas kerja yang berkaitan dengan EIA telah dibentangkan di beberapa persidangan dan seminar di dalam dan luar negara.
Terbitan IMPAK merupakan satu makalah keluaran Jabatan Alam Sekitar mengenai EIA dan diterbitkan setiap sukutahun. Isu-isu seperti pembangunan tanah tinggi, Ulangtahun Ke-7 Prosedur EIA dan kemajuannya, pelupusan sisa toksik secara haram serta audit alam sekitar telah diberi fokus dalam keluaran-keluaran yang diterbitkan.

INPUT ALAM SEKITAR DALAM PERANCANGAN PEMBANGUNAN
Jabatan meneruskan usaha menggalakkan penerapan dimensi alam sekitar ke dalam perancangan projek. Dalam tahun 1995, input-input alam sekitar kepada 66 buah projek pembangunan telah disediakan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.7. Bilangan ini adalah sama seperti tahun yang sebelumnya.
Projek-projek pembangunan yang berkaitan kebanyakannya merupakan projek-projek kerajaan yang terdiri daripada penggubalan pelan-pelan tindakan (6%), pelan-pelan pemuliharaan (5%), pelan-pelan pembangunan (17%), pelan-pelan tempatan (6 %), pelan-pelan pengurusan (7.5%), pelan-pelan induk (9 %) dan pelan-pelan struktur (27%). Selainnya ialah projek tebatan banjir (7.5%), industri (1.5%), infrastruktur (7.5%), pengairan (1.5%), lanskap (1.5%), sumber asli (1.5%) dan projek-projek pembetungan (1.5%). Senarai projek-projek ini ditunjukkan dalam Jadual 5.1.
Jadual 5.1 Jabatan Alam Sekitar : Senarai Input Alam Sekitar bagi Perancangan Pembangunan Projek, 1995.

                  Jenis                                               Projek

       Pelan Tindakan                              Pelan Tindakan Akuakultur
                                                            Jalan Haji Abdul Rahman (Kuantan)
                                                            Pelan Tindakan Strategi Pembangunan Negeri Melaka
                                                            Sungai Kuantan

        Pelan Pemulihan                            Kajian Pinggir Pantai dan Luar Pantai bagi Penyediaan  Pelan Struktur Kuala
                                                            Terengganu, Setiu dan Besut
                                                            Pembangunan Zon Pinggir Pantai bagi Garis Panduan Perlindungan Hakisan Pantai
                                                            Strategi Pemuliharaan Kebangsaan

       Pelan Pembangunan                       Pembangunan Akuakultur Besut
                                                            Kajian Kemungkinan dan Pembangunan Kawasan Air Panas bagi Pelancong
                                                            di Malaysia
                                                            Hulu Terengganu
                                                            Kuala Terangganu
                                                            Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur
                                                            Kajian Kemungkinan Projek Pemusatan Ternakan Khinzir di Bidor
                                                            Kajian Semula Pembangunan Ekonomi Jangka Panjang Negeri Johor: 1995-2010
                                                            Setiu
                                                            Pelan Pembangunan Tasik Kenyir
 
       Projek Tebatan Banjir                   Pelan Pengurusan Menyeluruh bagi Lembangan Sungai Muda
                                                            Kajian Kemungkinan dan Rekabentuk Khusus bagi Sistem Sungai-sungai
                                                            Prai, Sungai Juru, Sungai Jejawi.
                                                            Kajian Kemungkinan bagi Pembaikan Sungai Kelantan
                                                            Lembangan Sungai Kelang
                                                            Lemal dan Rantau Panjang

      Projek Industri                               Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana

      Projek Infrastruktur                       Kajian Awal dan Kemungkinan kejuruteraan bagi Jambatan Sungai Dinding
                                                           Lumut, Perak,
                                                           Kajian Kemungkinan dan Rekabentuk Terperinci bagi Kerja-kerja
                                                           Perlindungan Pantai di Pengkalan Datu, Kuala Besar, Kampung Buntal,
                                                           Sarawak dan Tanjung Aru, Sungai Kinarut, Sabah
                                                            Kajian Hidrolik bagi Kawasan Tadahan Sungai Sarawak Kiri dan
                                                            Kajian Kemungkinan bagi Cadangan Penambakan Merentasi Sungai Sarawak.
                                                            Cadangan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor
                                                             Bantuan Teknikal bagi Peraturan dan Polisi Pengairan.

     Projek Pengairan                             Kajian Kemungkinan bagi Pembangunan Takungan Air Kecil

     Projek Lanskap                              Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya

     Pelan Tempatan                              Bukit Jalil
                                                           Pinggir Pantai Kuantan
                                                           Pusat Bandar Kuantan
                                                           Seberang Kuantan

     Pelan Pengurusan                            Pelan Pengurusan Pantai Johor Selatan
                                                           Pelan Pengurusan Menyeluruh Lembangan Sungai Muda
                                                           Rancangan Malaysia ke-7 bagi Pasukan Petugas Alam Sekitar
                                                           Jawatankuasa Kecil bagi Piawai Alam Sekitar- Syarat & Definisi
                                                           Taman Negara Endau- Rompin

     Pelan Induk                                    Johor
                                                           Kajian mengenai Pelan Induk Operasi bagi Wilayah Jengka
                                                           Pulau Tioman
                                                           Cadangan Pelan Induk bagi Taman Botanikal di Sungai Buloh
                                                           Seri Iskandar, Perak
                                                           Pelancongan di Bandar Mersing

    Sumber Asli                                   Bidang Rujukan bagi Kajian Pengurusan Menyeluruh Sumber-Sumber Air di Malaysia

   Projek/Sistem
   Pembetungan                                 Kajian Pengurusan Sungai dan Kawalan Alam Sekitar Sg. Sarawak :
                                                        Ringkasan Kajian Kemungkinan Pembetungan

   Pelan Struktur                                Alor Gajah dan Jasin, Bentung, Bera, Besut, Cameron Highlands
                                                         Daerah Kuala Kangsar, Kinta dan Hulu Perak, Daerah Manjung dan Perak Tengah,
                                                         Hulu Terengganu, Jerantut, Kuala Terangganu, Lipis, Majlis Perbandaran Seberang Prai
                                                         Maran, Pekan, Raub, Rompin. Setiu dan Termeloh


Sistem Informasi Geografik (GIS)

Perkakasan dan perisian GIS telah ditingkatkan bagi menampung tiga pengguna yang menggunakan Sistem GIS serentak melalui Rangkaian Tempatan (LAN) yang sedia ada.

Peta-peta tematik GIS yang dihasilkan terus memainkan peranan dalam membekalkan maklumat untuk membuat sesuatu keputusan. Antara projek-projek yang dijalankan dalam tahun 1995 ialah:


Pemetaan bagi Projek Pembangunan di Lojing, Kelantan
Projek-projek EIA di sekitar Mimaland
Aktiviti pembersihan tanah di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Subang
Pembangunan di sekitar Genting Highlands
Peta Kegunaan Tanah (1990) bagi Selangor, Pahang, Terengganu, Negri Sembilan dan Perlis
Program antara-muka antara GIS dan Sistem Inventori Punca-punca Pencemaran (SIPP) telah juga dibangunkan. Program antara-muka GIS-SIPP ini dapat menghubungkaitkan antara maklumat ruang dengan maklumat ‘tabular’. Di samping itu, projek baru iaitu Sistem Pembantu Pembuat Keputusan Alam Sekitar (EDSS)  telah dicadangkan untuk dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh.
Penilaian Awal Tapak Projek
Penilaian awal tapak projek-projek dapat memastikan aspek alam sekitar diambilkira dalam pembangunan projek projek yang tidak tertakluk kepada Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling, 1987.

Penempatan
sesuatu cadangan projek dinilai berasaskan kegunaan tanah sedia ada di sekeliling kawasan tersebut. Pelan-pelan pembangunan telah dikaji bagi memastikan kawasan- kawasan sensitif alam sekitar seperti kawasan perumahan, sekolah, kawasan tadahan air, hutan simpan dan taman negara terletak pada jarak yang mencukupi bagi mengelakkan sebarang impak alam sekitar akibat daripada aktiviti pembangunan yang dijalankan di sekitarnya.

Pencadang-pencadang projek perlu melaksanakan langkah-langkah kawalan yang bersesuaian bagi mengurangkan pencemaran pada awal peringkat perancangan projek. Jabatan Alam Sekitar Negeri memainkan peranan utama dalam menjalankan siasatan tapak cadangan projek dan kemudiannya memajukan ulasan, pandangan dan cadangan kepada pihak-pihak berkuasa tempatan yang berkenaan.

Pada tahun 1995, sejumlah 6,565 permohonan bagi penilaian awal tapak telah diterima oleh Jabatan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.8. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 12% berbanding dengan tahun sebelumnya. Manakala Rajah 5.9 pula menunjukkan pecahan permohonan penilaian awal tapak yang diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri.

Kelulusan Pemasangan Alatan/ Kemudahan

Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-peraturan yang berkaitan, kelulusan dalam bentuk kebenaran bertulis dan kelulusan bertulis perlu diperolehi daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling sebelum pembinaan atau pemasangan sebarang kemudahan yang akan  mengakibatkan pelepasan bahan-bahan pencemar kepada persekitaran. Ini bertujuan untuk memastikan langkah-langkah pengawalan pencemaran digabungkan bagi mematuhi standard yang ditetapkan dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis yang Ditetapkan) (Minyak Kelapa Sawit Mentah), 1977,Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis yang Ditetapkan) (Getah Asli Mentah), 1978, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 1978 dan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling  (Kumbahan dan Effluen-effluen Perindustrian), 1979.

(i) Kawalan Pencemaran Air
Sejumlah 796 permohonan kebenaran bertulis bagi pemasangan alat kawalan pencemaran air diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri, iaitu pertambahan sebanyak 27% daripada tahun sebelumnya. Rajah menunjukkan Negeri Johor menerima paling banyak permohonan (42%), dan ini diikuti oleh Negeri Selangor (15 %). Jumlah kelulusan yang dikeluarkan dalam tahun 1995 ini menghasilkan penambahan sebanyak 4,468,473 meter padu/hari effluen yang diolah.

(ii)  Kawalan Pencemaran Udara
Sepanjang tahun 1995, sebanyak 1,189 permohonan kelulusan bertulis bagi pemasangan ala pembakaran bahanapi telah diterima dan jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 17% dari tahun 1994. Permohonan yang  paling banyak telah diterima daripada Negeri Sabah (20%), diikuti oleh Negeri Selangor (19%) dan Johor (17%) seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.11. Jumlah penggunaan bahanapi cecair dan gas adalah sebanyak 268,562 tan/hari manakala jumlah penggunaan bahanapi pepejal pula ialah sebanyak 12,516 tan/hari.
 PUSAT KHIDMAT NASIHAT ALAM SEKITAR DI MIDA
Pusat Khidmat Nasihat di Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) menjalankan peranan sebagai penasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan alam sekitar, bukan sahaja kepada pelabur-pelabur malah kepada orang ramai. Dalam tahun 1995, sebanyak 35 pelabur tempatan dan asing serta   40 orang awam telah mendapatkan nasihat dan maklumat mengenai alam sekitar. Perkara-perkara berkaitan dengan alam sekitar yang seringkali ditanya atau dirujuk adalah mengenai pembangunan projek-projek yang tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling 1987, kesesuaian tapak bagi projek yang dicadangkan, keperluan-keperluan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan-peraturan yang berkaitan, galakan-galakan bagi pemasangan alat pengawalan pencemaran, prosedur EIA dan keperluan-keperluannya, peluang-peluang untuk memberikan perkhidmatan berkaitan alam sekitar termasuk perundingan dan teknologi kepada industri yang sedia ada, dan juga peranan penswastaan dalam rancangan jangka panjang kerajaan dan polisi-polisi alam sekitar yang akan memberi kesan kepada sektor industri.
Jabatan Alam Sekitar juga merupakan ahli jawatankuasa kepada Jawatankuasa Tindakan Berkenaan Pengindustrian yang meluluskan lesen pengilang dan galakan. Pada tahun 1995, sejumlah 80 permohonan lesen pengilang telah dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar untuk nasihat dan ulasan. MIDA juga menerima sejumlah 1,075 permohonan bagi projek-projek pengilangan berbanding dengan hanya 1,018 permohonan pada tahun 1994. Daripada jumlah tersebut, 554 permohonan adalah bagi projek-projek pengilangan baru dan selebihnya iaitu 521 permohonan adalah bagi projek pembesaran dan mempelbagaikan pengeluaran. Sejumlah 894 buah projek telah diberikan kelulusan oleh pihak MIDA berbanding 870 kelulusan dalam tahun 1994.

Sebanyak 516 buah projek daripada 894 kelulusan yang telah dikeluarkan adalah projek pengilangan baru, sementara 378 adalah bagi projek pembesaran dan mempelbagaikan pengeluaran kilang. Daripada jumlah ini,  41 projek adalah tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling yang kebanyakannya merupakan projek industri kimia dan petrokimia, projek kitar semula buangan terjadual, pengeluaran bahan bukan logam seperti simen dan kapur, kilang kertas dan juga kawasan peranginan pinggir pantai.
(Petikan daripada Sumber Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar)

Dapatkan maklumat lanjut dari Kementerian Saians, Teknologi dan Alam Sekitar

Ulasan

  1. BOLEHKAH ANDA MENGAJAR SAYA MENGISI BORANG MAKLUMAT PEMBANGUNAN INDUSTRI JAS

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

RPH - Contoh

Lagenda batu belah akibat sumpahan (Linopot menjadi Batu)

Kampung Melangkap sebelum dan selepas gempa bumi dan banjir lumpur